Kelebihan Malam Lailatul Qadar, Malam Seribu Bulan

Waktu Atau Bilakah Berlakunya Lailatulqadar?

Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.

Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan malebihi usahanya daripada malam-malam lain.”

Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”

 

Kelebihan Malam Qadar

Para ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini, berdasarkan nas yang terdahulu. Antara kelebihan malam ini ialah:

  • Dikatakan lebih baik daripada seribu bulan. Imam al-Qurtubi berkata: “Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.
  • Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.
  • Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.
  • Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar. Al-Dahhaq berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan. Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” Lihat Tafsir al-Qurtubi 20/133.

Rahsia Menyembunyikan Lailatulqadar

Antara rahsia menyembunyikan Lailatulqadar ialah supaya menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mencarinya. Juga supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi untuk mencari Lailatulqadar, seperti disembunyikan masa yang diperkenankan doa pada hari Lailatulqadar, disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan namanya yang agung daripada segala nama serta keredhaan-Nya. Begitulah seterusnya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita Lailatulqadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut, seterusnya melayakkan kita mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.

 

Kredit :

Akhukum fillah, Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Kongsi: